Al Hikam Ibnu Athaillah As Sakandari | 131 - 140

 Al Hikam Ibnu Athaillah As Sakandari | 131 - 140

<a href="https://ibnuathaillahassakandari.blogspot.com">   <img src="al-hikam.png" alt="">   <strong> al-hikam.png</strong> </a>

Al Hikam 131

Jikalau tidaklah kerana keelokan/kebaikan tutupanNya, tiada akan terjadi satu amal pun yang layak diterima.

Al Hikam 132

Keperluanmu kepada kesantunan/kesabaranNya ketika engkau berbuat taat kepadaNya, adalah melebihi keperluanmu kepada kesantunan/kesabaranNya ketika engkau berbuat maksiat kepadaNya.

Al Hikam 133

Tutupan itu terbahagi kepada dua jenis: Satu tutupan adalah daripada maksiat dan satu tutupan lagi adalah di dalamnya.

Untuk orang-orang awam, mereka menuntut daripada AllÁh Ta‘ÁlÁ tutupan di dalamnya (yakni di dalam melakukan maksiat) kerana takut terjatuhnya kedudukan mereka di sisi segala makhluk.

Untuk orang-orang khas pula, mereka menuntut daripada AllÁh Ta‘ÁlÁ tutupan daripadanya (yakni daripada melakukan maksiat) kerana takut terjatuhnya kedudukan mereka pada pandangan Si Raja Yang Maha Benar (yakni AllÁh Ta‘ÁlÁ).

Al Hikam 134

Sesiapa yang memuliakanmu, sesungguhnya memuliakan apa yang berada pada dirimu dari keelokan tutupanNya.

Maka puji-pujian itu adalah bagi Dia yang telah menutupimu, dan bukan bagi orang yang telah memuliakanmu dan berterima- kasih kepadamu.

Al Hikam 135

Tiadalah [benar dikatakan seseorang itu] bersahabat denganmu melainkan dia bersahabat denganmu sedangkan dia [sudah pun terlebih dahulu] mengetahui tentang keaiban dirimu. Dan tiadalah yang demikian itu melainkan Penaungmu Yang Maha Mulia (yakni AllÁh Ta‘ÁlÁ).

Sebaik-baik orang untuk engkau buat sahabat ialah dia yang menuntutmu untuk dirimu sendiri dan bukan untuk sesuatu yang kembali daripada dirimu kepada dirinya.

Al Hikam 136

Andaikata bersinarlah bagimu nÍr al-yaqÏn (cahaya keyakinan), engkau akan dapat melihat bahawa akhirat itu adalah lebih dekat kepadamu daripada engkau bertolak kepadanya (yakni ia terlalu dekat sehingga tiada perlu engkau pergi kepadanya), dan engkau juga akan dapat melihat bahawa bagi segala kecantikan dunia itu akan terzahir kepadamu gerhana kefanaan di atasnya.

Al Hikam 137

Tiadalah engkau dihijabkan daripada AllÁh oleh kewujudan sesuatu yang maujud bersamaNya, kerana tiadalah yang maujud bersamaNya. Yang menghijabkan engkau daripadaNya ialah ilusimu mengenai [kewujudan sesuatu yang] maujud bersamaNya.

Al Hikam 138

Jika tiadalah kerana penzahiranNya pada al-mukawwanÁt (segala ciptaan yakni segala makhluk di alam semesta), tiadalah akan jatuh ke atas mereka wujud penglihatan (yakni tiadalah mereka akan dapat dilihat oleh sebarang penglihatan mata kepala).

Dan jika terzahirlah sifat-sifatNya (yakni menjadi nyata dan jelas pada pandangan mata hati), akan lenyaplah segala ciptaanNya [daripada pandangan si penyaksi].

Al Hikam 139

Dia telah menzahirkan (yakni menjadikan nyata) setiap sesuatu kerana Dia adalah Maha Batin, dan Dia telah melipatkan kewujudan setiap sesuatu kerana Dia adalah Maha Zahir.

Al Hikam 140

Dia telah membenarkan engkau memandang kepada apa yang berada di dalam al-mukawwanÁt (segala ciptaan yakni segala makhluk di alam semesta), tetapi tiada Dia memberikan izin kepadamu untuk berhenti [di tahap setakat memandang] kepada zat-zat al-mukawwanÁt.

"Katakanlah: Pandanglah engkau sekalian kepada apa yang berada di segala langit."

Semoga Dia membukakan untukmu pintu kefahaman [dengan ayat al-Quran ini]. Dan tiadalah Dia mengatakan “Pandanglah engkau sekelian kepada segala langit”, agar tiadalah Dia menunjukkan kepadamu [hanya setakat] di atas kewujudan jirim-jirim (benda-benda fizikal) itu sahaja.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Al Hikam Ibnu Athaillah As Sakandari | 131 - 140"

Posting Komentar